Belanjawan bayangan yang dikemukakan pakatan pembangkang boleh diibaratkan seperti meriam buluh yang mengeluarkan dentuman kuat dan membahayakan orang ramai.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana belanjawan itu hanya gah didengar, namun hakikatnya ia tidak merangkumi faedah menyeluruh untuk pelbagai lapisan masyarakat berbanding Bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.
“Dentuman kuat tapi kosong dan mungkin membahayakan mereka yang berada di sekitarnya. Ini kerana belanjawan mereka tidak memperincikan faedah dan program kepada golongan belia dan atlet di negara ini. Mungkin mereka fikir golongan belia dan atlet tidak penting kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melepaskan lebih 500 peserta acara larian amal di sini hari ini.
Menurut Ahmad Shabery, apa yang dikatakan oleh pembangkang tidak lebih sekadar episod baru janji kosong mereka seperti peristiwa 16 September 2008 iaitu untuk mengambil alih kerajaan.
“Saya masih ingat lagi pada masa itu mereka begitu yakin untuk mengambil alih pemerintahan negara apabila mendakwa ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai mereka.
“Ternyata ia hanyalah dusta dan saya minta rakyat sekali lagi jangan tertipu dengan taktik mereka,” katanya.
Mengenai tambahan RM30 juta yang diterima kementerian itu untuk program mengasah bakat muda, beliau berkata, ia tidak akan digunakan untuk menampung perbelanjaan Program Road To London walaupun Sukan Olimpik tahun depan merupakan temasya penting kepada negara.
“Bajet untuk Program Road To London sudah ada dan telah dibincangkan dengan Perdana Menteri sebelum ini.
“Apa yang penting sekarang, kerajaan mahu melihat lebih ramai atlet melayakkan diri ke temasya berkenaan dan mereka yang tersenarai berusahalah bersungguh- sungguh kerana ada peruntukan untuk itu,” katanya.
* bahaye tau janji - janji manis ni..harap2 jangan la cepat terpedaya tau!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
tulis elok-elok jangan ikut emosi